SALJI DI UNIVERSITI KU

SALJI DI UNIVERSITI KU

AWE-DONDE

AWE-DONDE

جامعه مؤته

جامعه مؤته

KULIAH SYARIAH MU'TAH

KULIAH SYARIAH MU'TAH

Metodologi Aliran Pemikiran Fiqh Pada Zaman Khilafah Al-Rasyidin

Sunday, February 13, 2011


Madrasah Ahlul Rakyu


Madrasah Ahlul Hadis


Sedar atau tidak fatwa-fatwa Ulamak kontemporari dan pendapat fiqh adalah terkesan dengan 2 aliran metodologi pemikiran yang besar pada Zaman Khilafah Al-Rasyidin pada tahun 41Hijrah sehingga awal qurun kedua hijrah iaitu;

1.Madrasah Ahlu Rakyu

2.Ahlu Hadis.

Zaman ini juga dikenali sebagai zaman awal perkembangan ilmu fiqh selepas zaman sahabat.Sebagaimana kita tahu sahabat merupakan anak murid didikan kepada nabi.Anak didikan nabi Muhammad S.A.W sendiri.Maka,selepas daripada zaman sahabat,fiqh mula berkembang setelah Islam mulai memasuki dan bertapak ke seluruh semenanjung arab dan berkembang di Negara-negara bukan arab.
Maka secara tidak langsung ijtihad dan ilmu fiqh juga berkembang.Menyebabkan munculnya metodologi aliran pemikiran fiqh pada zaman tersebut.

Tujuan Mengetahui Madrasah Ahlu Rakyu dan Ahlu Hadith:

Sebelum kita mengenal dan memasuki tentang apakah Ahlu Rakyu dan Ahlu Hadis,mari kita mengetahui secara ringkas apakah kelebihan dan faedah mengetahui metodologi madrasah ahlu rakyu dan hadis.

1.Jika kita mengetahui sejarah aliran pemikiran fiqh ini,akan mengurangkan kegusaran dalam fikiran kita tentang mengapa terjadinya khilaf fiqh serta perbezaan mazhab fiqh.

2.Menghormati pendapat Ulamak dalam masalah ijtihad..

-Secara peribadi saya amat tidak menyukai sikap setengah daripada golongan agamawan yang saling mencela sesama meraka disebabkan perselisihan pendapat.Dan masing-masing mengakui mereka adalah yang paling betul dan dekat dengan kitab dan sunnah..Sehingga meninggalkan adab terhadap Ulamak dan adab terhadap ilmu..

3.Mengetahui sejarah dan aliran pemikiran mazhab masing-masing..

-Secara umumnya pengamalan di Malaysia mengamalkan Mazhab Syafie.Dengan mengetahui Madrasah Ahlu Rakyu dan Ahlu Hadis secara tidak langsung dapat mengetahui aliran metodologi mazhab kita.




Pengenalan Madrasah Ahlu Rakyu vs Ahlu Hadis


Jika kita mengkaji sejarah perkembangan ilmu Fiqhh yang sampai ke tangan kita hari ini,ianya bermula dengan dua metodologi utama iaitu metodologi yang berasaskan kepada sunnah atau hadith manakala yang satu lagi adalah metodologi yang berasaskan kepada Al-Rakyu dan kias..(akal)

Ahlul Fuqaha’ pada zaman khilafah Ar-Rasyidin terbahagi kepada 2 golongan utama…1.Golongan yang tidak mengeluarkan hukum dengan rakyu(aqal)
2.Golongan mengeluarkan fatwa dengan rakyu@kias(aqal) juga dikenali Ahlul Rakyu.

1.Madrasah Ahlu Rakyu

A)Ketua madrasah ahlu rakyu ialah Ibrahim bin Yazid wafat pada tahun 96 Hijrah.Juga merupakan guru kepada Imam Hanafi.Ketua madrasah yang terkenal selepasnya ialah Nu’man bin Thabit (Imam Abu Hanifah) atau lebih dikenali sebagai fiqh mazhab Hanafi,dilahirkan pada tahun 80hijrah dan wafat pada tahun 150 Hijrah.

B)Metodologi pemikiran Ahlu Rakyu adalah bertempat di Kufah(Iraq).

2.Madrasah Ahlu Hadis


A)Ketua Madrasah Ahlu Hadis ialah Imam Said bin Musaib wafat pada tahun 94 Hijrah.Kemudian mazhab yang lahir daripada madrasah Ahlu Hadis ialah Imam Malik Bin Anas dilahirkan pada tahun 93 Hijrah dan wafat pada tahun 179 Hijrah.Terkenal dengan Mazhab Maliki.

B)Metodologi ini berpusat di Madinah..Juga dikenali dengan Al-Hijazi

Asas Khilaf Madrasah(aliran) Ahlu Rakyu dan Ahlul Hadis:

Perlu diingat bahawa mereka bukanya berselisih pendapat tentang kehujahan ke atas Al-sunnah..Tetapi hanya khilaf kepada 2 perkara sahaja:

1.Pengeluaran hukum berasaskan rakyu(akal)
2.Membina hukum pada masaalah yang tidak disebut Al-quran dan Hadis .


Ahlul Hadis:

Asas metodologi fekah yang berasaskan kepada HADITH adalah berpegang teguh dengan hadith dan tidak membicarakan isu-isu fekah yang belum berlaku atau dipanggil sebagai "iftiradhi".Maka,sebarang isu fekah yang tidak mempunyai dalil dari hadith mahupun Al Quran,maka,golongan ini tidak akan mengeluarkan hukum dan mengambil pendirian tidak memberikan sebarang ulasan.(mauquf).


Ahlul Rakyu:

Asas ahlul Rakyu adalah mereka tidak takut untuk memberi fatwa dengan rakyu(akal) selagi mana perkara itu tidak disebut oleh Alquran dan As-sunnah.Hujah mereka adalah setiap ahkam Allah adalah logik dari segi makna(ma’qul makna) kerana hukum allah adalah meliputi untuk kemaslahatan hambanya.Jadi membina hukum berdasarkan aqal tetapi masih lagi menepati landasan berdasarkan alquran dan sunnah..Bukanya,golongan ini menolak hadis hadith dalam menyelesaikan masalah fekah yang timbul akan tetapi mereka berhati-hati dalam menerima sesebuah hadith itu memandangkan faktor politik dimana bermulanya fitnah yang besar ketika itu dengan kemunculan golongan-golongan yang mempergunakan agama dengan mengolah hadith palsu tertentu untuk tujuan meraih kemenangan politik mereka antaranya ialah golongan KHAWARIJ disamping pengaruh terhadap perkembangan ilmu-ilmu falsafah Yunani yang diterjemahkan ke bahasa arab.


Sebab-Sebab Timbulnya Manhaj Ahlul Hadis dan Ahlul Rakyu:


1.Setiap madrasah ini terkesan dengan aliran pemikiran syeikh ataupun guru mereka.Sebagaimana ahlul hadis terkesan dengan aliran Abdullah bin Umar.

Adapun madrasah ahlul rakyu terkesan dengan cara Abdullah bin Mas’ud yang cenderung kepada rakyu dalam fatwanya.


2. Faktor utama kemunculan metodologi ahlul hadis ini adalah golongan ini mempunyai banyak sumber rujukan dari kalangan para ahli hadith dan kewujudan mereka di tanah Madinah itu sendiri memudahkan mereka memperoleh orang yang faham hadith

Adapun Ahlul Rakyu mereka berhati-hati dalam menerima sesebuah hadith itu memandangkan faktor politik dimana bermulanya fitnah yang besar ketika itu dengan kemunculan golongan-golongan yang mempergunakan agama dengan mengolah hadith palsu tertentu untuk tujuan meraih kemenangan politik mereka antaranya ialah golongan KHAWARIJ disamping pengaruh terhadap perkembangan ilmu-ilmu falsafah yunani yang diterjemahkan ke bahasa arab. Dan juga mengelakkan dari terlibat dari jenayah memalsukan hadith dan setiap hadith yang diterima akan disiasat betul-betul disamping meletakkan syarat-syarat yang sangat ketat untuk menerima sesebuah hadith disebabkan kurangnya hadis sampai kepada mereka.


3.Faktor terakhir Ahlul Hadis ialah kehidupan di Madinah ringkas dan uruf pada masa itu tidak berubah sama sekali dengan zaman Rasulullah kecuali dengan kadar yang sedikit sahaja.Menyebabkan masalah yang timbul tidak berbeza dengan zaman Rasulullah serta zaman sahabat.

Adapaun kehidupan di Iraq yang kompleks dan tidak ringkas sebagaimana di Madinah.Oleh kerana Iraq merupakan Negara yang maju sejak sebelum Islam bertapak lagi seperti kesan Yunani,Greek dan lain-lain.Uruf dan adat di Iraq berbeza dengan Madinah bahkan permasalahan yang timbul sangat banyak sehingga memaksakan Ulama’ Fiqh mengeluarkan hukum member fatwa berdasarkan ar-rakyu(aqal).


Contoh Perbezaan hukum fiqh Madrasah Ahlul Rakyu dan Ahlul Hadis

Setelah mengenal apakah metod pemikiran ahlu rakyu dan hadis,kita cuba kaji pula bagaimanakah perbezaan kedua-dua madrasah ini mengeluarkan hukum fiqh berdasarkan metodologi pemikiran mereka:

Hukum zakat fitrah,adakah wajib keluarkan zakat fitrah kepada orang miskin dengan duit(qimah) ataupun dengan asnaf yang disebut oleh hadis seperti secupak gandum dan lain-lain disebut oleh hadis?


Mafhum Hadis:”Sesungguhnya Rasulullah mewajibkan zakat fitrah kepada fakir miskin pada pertengahan bulan Ramadhan dan pada awal Hari Raya Aidul Fitri kadarnya ialah secupak dari gandum ataupun daripada barli atau daripada tamar atau daripada zabib.”

Hukum dikeluarkan daripada Madrasah Ahlul Hadis:

Hukum madrasah ahlul hadis bahawa kadar zakat fitrah yang wajib dikenakan ialah berdasarkan item yang disebut oleh hadis tersebut seperti gandum,barli tamar dan lain-lain disebut oleh hadis.Maka tidak sah zakat jika seseorang itu keluarkan selain daripada item yang disebut oleh hadis.Oleh kerana hadis menyebut tentang item-item itu sahaja,maka tidak boleh keluarkan selain daripada nya.

Hukum yang dikeluarkan daripada Madrasah Ahlul Rakyu:


Madrasah ahlul rakyu pula mengeluarkan pendapat yang berbeza dengan ahlul hadis.Mereka berpendapat bahawa sesungguhnya maksud nabi ialah zakat fitrah dikeluarkan untuk membantu fakir miskin.Tidak semestinya memberi zakat fitrahkepada faqir miskin berdasarkan item yang disebut oleh hadis.Maka,zakat mesti dibayar dalam bentuk nilai(duit).

Hujah mereka ialah nabi menyebut item seperti gandum,zabib dan sebagainya adalah untuk memudahkan penduduk mekah mengeluarkan zakat.Oleh kerana pada zaman tersebut duit merupakan satu benda yang susah untuk mereka dapati.Penduduk Mekah dirumah-rumah mereka hanya ada bahan makanan asasi mereka berbanding dengan duit.

Oleh kerana setelah uruf dan adat telah berubah,maka membayar zakat fitrah dengan duit lebih tepat berdasarkan zaman terkini.Ini kerana memudahkan bagi si pemberi zakat dan penerima zakat fitrah lebih dapat manfaat.Kerana fakir miskin dapat membeli apa yang mereka kehendaki.Ini adalah sangat tepat dan bersesuaian dengan maqosid syariah iaitu untuk membantu fakir miskin.





Penutup:


Pada pertengahan abad ke-2 sampai pertengahan abad ke-4 H. Zaman ini disebut sebagai zaman gemilang (zaman keemasan) kerana fiqh dan ijtihad ulama semakin berkembang. Pada zaman inilah muncul berbagai mazhab, khususnya mazhab yang empat, iaitu Mazhab *Hanafi, Mazhab Maliki, Mazhab Syaf'i, dan Mazhab Hanbali. Pertentangan antara Madrasah al-Hadis dengan Madrasah ar-Rakyu semakin berkurangan sehingga masing-masing pihak mengakui peranan rakyu dalam berijtihad, seperti yang diungkapkan oleh Imam Muhammad Abu Zahrah, guru besar fiqh di Universitas al-Azhar , Mesir, bahwa pertentangan ini tidak berlangsung lama, karena ternyata kemudian masing-masing kelompok saling mempelajari kitab fikih kelompok lain. Dan saling menghormati kedua-dua aliran tersebut.Sebagai contoh;

Imam Muhammad bin Hasan Asy-Syaibani, ulama dari Mazhab Hanafi yang dikenal sebagai ahlu rakyu, datang ke Madinah berguru kepada Imam Malik(madrasah ahlul hadis) dan mempelajari kitabnya, al-Muwatta'(buku hadis dan fiqh).

Setelah kemunculan kedua-dua metodologi ini,lahirlah pula sebuah golongan yang mengkombinasikan kedua-dua metodologi tersebut.Kumpulan ini dipelopori oleh pengasas mazhab syafie,AL IMAM MUHAMMAD BIN IDRIS ASY SYEFIE AL MUTALLIBI atau terkenal dengan nama IMAM ASY SYAFIE.Mazhab ini dilihat lebih sederhana dan lebih fleksibel.Mazhab ini berkembang luas di seluruh dunia sehingga masyarakat Islam di asia tenggara terutamanya di Malaysia mengguna pakai mazhab syafie secara meluas.

Kesimpulanya,dengan mengetahui metodologi aliran pemikiran ini,semoga pemikiran kita semakin terbuka terhadap pendapat fiqh.Saling menghormati pandangan mazhab masing-masing dan juga menghormati Ulamak.Masing-masing betul dan mendapat ganjaran daripada Allah S.W.T

Saya akhiri tulisan ini dengan kaedah yang masyhur:

(الاجتهاد لا ينقض الاجتهاد)

Maksudnya:”Ijtihad tidak terbatal dengan ijtihad yang lain”



.....................................................................................

Rujukan:

1.Madkhal Alfiqhi Dr Mustafa Zarqa'
2.Madkhal li Dirasat Syariah Dr Abdul Karim Zaidan






Oleh:Azmir Azri Bin Ahmad
Jabatan Fiqh Wa Usul
Universiti Muktah,Jordan

P/s:Maafkan saya kerana artikel ini ditulis dalam bentuk akademik dan difahami oleh pelajar bidang fiqh sahaja.

3 comments:

budakgemok said...

thanks for share..
sangat2 b'manfaat..:)

February 15, 2011 at 10:11 AM
muhammad syafiq said...

rindu lah class ustz jemer..

moga bersua lg~

February 15, 2011 at 10:45 AM
Mohamad Azhar said...

Best gak artikel ni...

February 21, 2011 at 10:36 AM

Post a Comment

 

2009 ·AWE-DONDE by TNB