SALJI DI UNIVERSITI KU

SALJI DI UNIVERSITI KU

AWE-DONDE

AWE-DONDE

جامعه مؤته

جامعه مؤته

KULIAH SYARIAH MU'TAH

KULIAH SYARIAH MU'TAH

I ♥ Jordan??Di antara realiti dan Khayalan di Bumi Jordan.(sambungan 2)

Friday, April 23, 2010



Teruk arab Jordan ye?Takut lah nak belajar di Jordan…Tak mahu lah hantar adik belajar Jordan…Jahatnye arab Jordan…Bahaya belajar Jordan!!!
Itulah antara komen-komen yang saya dapat selepas menulis artikel tentang sahabat saya dipukul oleh warganegara Jordan…Untuk pengatahuan semua,penjahat itu sudah dapat ditangkap dengan kerjasama dan kecekapan Polis Jordan….Mereka hormati kami sebagai pelajar Syariah dan tetamu di negara mereka.Terima kasih ketua Polis Mazar yang sanggup membantu kami dan melindungi kami sebagai tetamu di dataran syam ini..

BAHAYA ADA DI MANA-MANA


Buat sahabat-sahabat yang takut dan teragak-agak untuk belajar di Jordan setelah membaca artikel saya yang pertama,saya nak nasihatkan bahawa tetapkan niat untuk belajar ilmu kerana Allah.Kerana bahaya ada di mana-mana pun.Dan kes arab pukul pelajar Malaysia sangat jarang berlaku dan saya rasa ini mungkin rekod kali pertama berlaku di Mu’tah..Itulah antara cabaran yang anda bakal tempuhi jika belajar di luar Negara.Jika anda tidak mahu mengambil risiko,tidak mahu berdikari lupakan hasrat anda untuk belajar di luar Negara.Sebenarnya cabaran-cabaran ini membuatkan anda lebih matang dan pengalaman yang paling berharga yang anda bakal kutip ketika belajar di Timur Tengah.Kalau dari segi jenayah saya rasa di Malaysia lebih bahaya.Pencuri ada di mana-mana.Kes ragut,rogol bunuh dan lain-lain.Adakah ini bermakna Malaysia tidak aman?Sedangkan penduduk Mu’tah(Jordan)lagi jujur daripada rakyat Malaysia.Ketika tuan kedai hendak solat Jumaat,gerai dan kedai-kedai hanya ditutup dengan kain sahaja.Tetapi barang-barang tidak kena curi.Jika anda tinggalkan beg juga beg anda selamat tidak diselongkari.Besi-besi di tepi jalan tidak diambil dan dicuri sedangkan kes di Malaysia TNB rugi berjuta-berjuta tiap tahun kerana kecurian kabel elektrik.Negara manakah yang lebih aman?

KEBAIKAN DAN KEBURUKAN

Pada awal artikel tidak adil jika saya ceritakan keburukan arab Jordan tanpa menceritakan kebaikan mereka pula.Sedangkan ada juga sikap dan budaya rakyat mereka kita boleh ambil.

Dari segi percakapan mereka dahulukan setiap kata-kata mereka dengan pelbagai doa.Sehingga bahasa menyumpah pun dalam bentuk doa.Dan sebelum mereka akhiri apa-apa pun sama ada dalam perbualan dan apa-apa percakapan mereka akhiri juga dengan doa.Mereka biasakan kata-kata dengan doa-doa.Contoh Ya Allah berikan kepada kamu kesihatan,semoga Allah beri rahmat kepada kamu dan lain-lain lagi.Saya rasa budaya ini tidak ada di Malaysia.Adakah ada di Malaysia sebelum kita akhiri perbualan kita akhiri dengan ‘semoga Allah beri kesiahatan kepada kamu””Semoga Allah bagi keberkatan kepada kamu’?Dan setiap kali jumpa dengan orang kita tidak kenali pun,bagi salam.Sehingga saya pernah dimarahi oleh arab ketika saya masuk kedai saya tidak member I salam.Dan sngat berbeza suasana di Malaysia jika anda member salam kepada orang yang anda tidak kenali maka anda akan dipandang pelik!Kenapa bagi salam ni?Budaya kita hanya member salam kepad aorang yang kita kenali sedangkan dalam Islam salam hendaklah kita bagi kepada semua orang Islam!

Dari segi percampuran antara lelaki dan perempuan di dalam bas dan juga kedai-kedai.Jika anda berada di Jordan mimpi anda untuk duduk di sebelah perempuan mungkin sia-sia!Kerana di dalam bas pun dianggap satu keaiban jika anda duduk di sebelah perempuan.Meraka akan bagi perempuan duduk di belakang dan lelaki di depan.Dan di kedai pula ada ruang khas untuk perempuan dan lelaki!Saya kira hanya beberapa kerat sahaja restoran dan kedai makan di Malaysia buat begitu. Malahan juga,orang arab di sini kalau nampak mak cik tua mengangkat barang memimpin mereka. Dalam bas pula, kalau ada sahaja perempuan yang tidak ada tempat duduk, orang lelaki akan bangun dan memberikan tempat duduknya kepada perempuan tersebut.Malah jika ada orang tua,maka anda sebagai orang muda terpaksa berdiri member tempat kepada golongan tua dan perempuan. Tidak pernah saya lihat dalam mana-mana bas di sini membiarkan perempuan berdiri di dalam bas. Seolah satu keaiban buat mereka jika membiarkan perempuan berdiri.

Adapun pasal Jordan ni orang arabnya suka pasang channel Al-Quran, kat Malaysia mana ada channel Al-Quran ni. Channel yang memutarkan bacaan Al-Quran sepanjang 24 jam yang terdiri daripada Qari-Qari yang terkemuka dan tidak dikenali. Jika anda pergi ke dalam bas,kedai makan,kedai kasut mahupun Mall sudah jadi kebiasaan mereka memasan g Al-quran berbanding lagi-lagu.

Mungkin yang terakhir saya hendak nukilkan di sini sikap keterbukaan dan kederhanaan Arab Jordan dalam mazhab dan menghormati pendapat lain.Dalam masjid anda akan dapati ada yang sembahyang bermazhab Syafie,Hanbali dan Maliki tanpa mereka mencela dan taksub di antara mazhab.Ada masjid yang berzikir dengan kuat,dan ada masjid yang berzikir dengan perlahan.Dan paling penting sistem belajar di Jordan sangat terbuka.Kami bukan sahaja di ajar fiqh 4 mazhab malahan juga Ibnu Hazm Az-zohir juga kami di ajar.Kami di ajar sekali dengan dalil-dalil dan juga pendapat yang paling Sohih berdasarkan dalil bukan nya rojeh ikut nafsu.Kami juga di ajar fiqh mengikut aliran hadis.Bermakna 2 aliran kami di ajar dari sudut pandangan ahli fiqh dan juga ahli hadis.Malah Jordan juga terkenal dengan fiqh medik dan fiqh kotemporari.Kami didedahkan dengan fiqh semasa seperti hukum derma organ,hukum kad kredit,insurans,hukum alkohol dalam pewangi istihalah dan fiqh-fiqh semasa yang tidak ada dalam kitab-kitab fiqh terdahulu dalam 4 mazhab.Di mana Malaysia sentiasa kita dengar perbalahan antara Salafi,Wahabi,Khalaf,Ahli sunnah dan macam-macam lagi.Kami pula didedahkan pendekatan perdekatkan jurang antara mazhab,bukan timbulkan masalah khilafiyah sehingga memeningkan masyarakat.Yang memungkinkan pergaduhan,dan perbezaan masalah furu' antara mazhab menyebabkan masalah ini memang menimbulkan perpecahan Umat Islam di Malaysia!Sebagaimana berlaku di Malaysia hari ini.Kesederhanaan dan keterbukaan pemikiran ini anda akan dapati jika belajar di Jordan.Insyaallah saya terangkan dalam khusus dalam artikel lain pasal bab ini iaitu perdekatkan jurang antara mazhab.

Kesimpulanya,secara peribadi bukanlah niat saya hendak perkecilkan setengah pihak,menjatuhkan setengah pihak yang lain.Bukan,dan tidak sama sekali!Saya ingin ceritakan realiti yang berlaku di Jordan dan di Malaysia.Saya alu-alukan pelajar lepasan SPM khususnya dan pelajar dari Malaysia secara amnya yang ingin belajar di Jordan teruskan niat anda!Halangan-halangan yang anda bakal lalui itu Insyaallah akan menjadi kenangan manis buat anda setelah anda tinggalkan Bumi Syam Barakah ini.

YA ALLAH,JADIKANLAH KAMI SEBAGAI PENUNTUT ILMU YANG DIREDHAI OLEH MU YA ALLAH.MATIKANLAH KAMI DALAM KEADAAN SYAHID SAMA ADA BERJUANG DI MEDAN PERANG MAHUPUN DI MEDAN ILMU MU YA ALLAH..AMIN~
TAMAT…

I ♥ Jordan??Di antara realiti dan Khayalan di Bumi Jordan

Wednesday, April 14, 2010


“Pergilah belajar kat Jordan!Kat Mu’tah sebab situ suasana kampong,rakyat baik-baik ada salji.Arab Mu’tah peramah,suka tolong pelajar melayu,hormat pada tetamu”-terngiang-ngiang kata-kata ini di saat ku ingin mengisi borang ke luar Negara.

Emm….Isi Mu’tah lah..(kali pertama saya tertukar Mu’tah dengan Mut’ah sebab ramai pelajar melayu memang keliru perkataan ini)
Setelah seminggu berada di Mu’tah terbukalah kisah sebenar satu demi satu perangai arab.Bak kata orang indah khabar dari rupa.

Kali pertama saya keluar ke rumah sahabat saya Syahid Dol seorang diri pada pukul 11malam.Ketika perjalanan pulang,3orang remaja arab Jordan mengugut saya,mereka meminta duit.Tapi,sebagai pelajar baru memang tidak faham apa yang dimintanya.Saya terpinga-pinga juga.Tiba-tiba kereta polis lalu.Alhamdulillah…Kali ini selamat.Tetapi mereka membalasnya dengan membaling anak-anak batu kepada saya.Saya lari ke rumah yang tidak jauh dari tempat kejadian.Dan saya tidak dapat tidur malam pada hari kejadian itu.Perasaan bercampur gaul.diantara takut,marah,benci berdendam sangat.Tetapi teringatkan tujuan utama saya datang di sini adalah untuk belajar,bukanya cari gaduh berasa tenang balik.

Sepanjang pengalaman saya berada hampir 2 tahun di Jordan pelbagai perangai arab yang pelik-pelik sehingga kami sudah terbiasa.Baka kata pepatah,alah bias tegal biasa.Setakat kena baling batu bagaikan kita berada di Palestin.Sebagaimana kanak-kanak Palestin merejam Yahudi dengan anak-anak batu.Hendak balas balik kena fikir banyak kali.Kerana melawan mereka bermakna anda akan berperang dengan Kabilah Arab seramai beratus-ratus orang dengan ahli keluarga mereka(kabilah mereka).Jika melawan maka anda telah meletakan pisau di tengkok anda!Jalan terbaik perlu bersabar sahaja…Itulah realitnya,bukanya kami lemah,tetapi kami pelajar Malaysia hanya perlu sabar tahap maksimum mungkin!

“Ya Chalb’,Ya Shini,’Ali Baba’Ya Syarmuthoh…Pelbagai-bagai lagi perkataan yang anda tidak mungkin sanggup mendengarnya kerana diperli,oleh kanak-kanak arab.Hendak balas balik tiada gunanya kerana budak-budak comot itu memang tidak makan saman.Ayahnya hanya lihat sahaja kami diperli(kena nganjing@nganyim) oleh anak-anak mereka bukanya hendak menghalang perangai buruk anak mereka.Telinga yang berada di tanah arab ini sepatutnya disahut dengan kuliah-kuliah agama,tazkirah-tazkirah dan bacaan ayat-ayat al-quran ini terpaksa dipekakan sebentar dengan kelakuan anak-anak arab yang degil.Tidak apa,sekadar mereka hanya berkata-kata,selagi mereka tidak cederakan tubuh kita,sabar je lah……

Mungkin banyak lagi peristiwa-peristiwa dan pengalaman-pengalaman ngeri sahabat-sahabat saya yang berada di Bumi Syam ini yang tidak boleh saya nukilkan di sini.Tetapi,kemuncak kemarahan kami sudah bermula…………..

Pada suatu malam pukul 11.00 malam, 12 April 2010, Mutah, Karak, Jordan. Sahabat saya beragama Islam, dipukul dan dibelasah oleh seorang pemuda arab tempatan sehingga sendi sikunya retak, kepala luka dan lebam di beberapa bahagian lain. Mangsa, yang berusia 24 tahun itu baru sahaja selesai mempengerusikan mesyuarat untuk Pameran Malaysia di Universiti Mutah yang akan berlangsung minggu depan. Beliau dalam perjalanan menghantar beberapa orang akhawat pulang ke rumah masing-masing tiba-tiba diserang secara mengejut.

Beliau disembam ke jalan raya sebelum disepak dan ditendang beberapa kali di bahagian belakang, perut dan pinggang. Kepala beliau juga telah disepak. Dalam usaha melarikan diri, beliau sekali lagi diterajang lantas menyebabkan siku beliau retak.

Saya mendapat panggilan kecemasan dari seorang akhwat Mu’tah.Saya bergegas memakai seluar dan memanggil semua rakan-rakan di rumah saya.Bucah,Mat din,Makwe,ALeng,Loh,Pesal turun dengan semangat bagaikan menyahut seruan jihad!!Dan,saya memanggil beberapa rakan di Bayt Pulai Chondong…Tetapi,kami berasa sangat hampa…Kami sudah terlewat beberapa minit.Mangsa telah dipukul sampai lembik,lemah tidak bermaya.Bukan arab yang kami dapati,tetapi kelihatan akhwat cemas dan pucat bersama mangsa yang sudah lembik.Saya kemudian bergegas berhubung dengan jiran-jiran arab tempat kejadian dan memohon mereka menolong kami untuk menelefon kepada pihak polis.Terima kasih kepada jiran-jiran arab yang sudi membantu kami walaupun sudah lewat malam ketika itu.

Saya tidak mahu lagi menukilkan peristiwa pada malam itu dengan polis perondanya yang berlagak,dan kejadian di hospital sangat menyakitkan hati kami.Kami terguris dilayan sebegini rupa oleh penduduk setempat!!!Kami bukan datang sini untuk didera tubuh,tetapi untuk didera minda dengan belajar agama,budaya arab yang baik,belajar bahasa arab dan lain-lain.Kami pelajar Malaysia Jordan ingin pihak atasan sanggup turun padang mendengar masalah-masalah kami,dan kami tidak mahu kes ini ditutup dengan begitu sahaja!Di harap bapa-bapa kami di Kedutaan menolong kami di sini.Kami tiada saudara mara untuk mengadu!Kemarahan kami sudah memuncak.Di manakah keadilan?DI mana Urdun Awalan?Di Mana?.......

Secara peribadi saya tidak sanggup sebenarnya untuk menulis pasal keburukan-keburukan arab ini.Mungkin memberi kesan negatif kepada pelajar-pelajar baru yang berhasrat belajar di Jordan..Tetapi,tidak semua arab begitu kerana mereka juga berhati mulia dan banyak juga nilai-nilai murni mereka yang tidak ada pada rakyat Malysia….Bersambung…………………………

Berhati-Hati Menggunakan Facebook!!!

Sunday, March 14, 2010


Terlalu ramai yang bertanya apakah hukum bermain,membuka akaun facebook.Alhamdulillah,masih lagi yang berminat untuk mengetahui hukum halal haram dalam sesuatu perkara.Dan telah dijawab oleh pelbagai pihak maka rumusanya adalah hukum bermain facebook harus selagi mana facebook tidak terbukti menggunakan pengaruh menyumbang dana kepada Yahudi untuk menyerang umat Islam dan pelbagai lagi hujah untuk menyokong harusnya menggunakan facebook.

Tetapi,saya tidak mahu membincangkan perkara tentang ini,kerana ada satu lagi hukum yang mana masih ramai lagi dalam kalangan kita tidak perasan tentang perkara ini,sehingga ustaz-ustaz dan ustazah pun turut serta bermain permainan ini.Iaitu permainan kuiz meneka nasib pada masa hadapan dan membaca peribadi melalui horoscop serta pelbagai permainan kuiz yang ada unsur-unsur ramalan.Mungkin ramai yang memandang enteng tentang perkara ini kerana bertanggapan hanya itu hanyalah suka-suka.Tetapi,harus diingat tentang hukum-hakam tidak ada yang suka-suka dan boleh dipandang ringang!Sebagai contoh kamu mahu membuka aurat kerana fesyen dan suka-suka sahaja.Jika dihadapan Allah,mampukah kamu menjawab saya hanya membuka aurat kerana suka-suka sahaja?

Tidak boleh dinafikan lagi permainan kuiz meneka nasib dan membaca bintang ini melimpah ruah dalam facebook.Jadi,apakah HUKUM bermainnya?

Perkara ini sudah lama dibincangkan oleh ulama’ dan ahli-ahli agama.Cuma,kita yang tidak mengetahui perkara ini.

SOLAT mereka yang membaca ramalan bintang sama ada di akhbar, majalah atau di internet tidak akan diterima Allah selama 40 hari, tidak kira mereka percaya atau sebaliknya kerana perbuatan itu sama seperti berjumpa dengan tukang ramal.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nik Salida Suhaila Nik Saleh, menjelaskan perkara itu berdasarkan ulasan ulama terkenal Yusuf al-Qardawi mengenai hukum membaca ramalan bintang.

Katanya, walau seseorang itu tidak membenarkan apa yang dibaca, solatnya tetap tidak diterima selama 40 hari dan jika membaca serta membenarkan pula ramalan itu, maka orang itu dikatakan kufur kepada ajaran Muhammad.

Bagaimanapun katanya, jika membaca dengan tujuan untuk membantah, menjelaskan dan mengingkari amalan syirik, hukumnya dituntut malah menjadi wajib kerana tujuan memberi pengajaran kepada orang lain.

'Jelas amalan meramal, membaca dan menaruh sikit rasa yakin apa dikatakan ramalan bintang itu perlu dijauhi mulai hari ini. Ini bukan perkara main-main atau seronok-seronok kerana ia bercanggah dengan hukum Islam,' katanya.

Mari kita perbincangkan dalil-dalil:

1.Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 'Sesiapa yang datang kepada dukun kemudian dia membenarkan terhadap apa yang dikatakan olehnya, maka solat orang itu tidak diterima Allah selama 40 hari.'

2.Surah AN-NAHL AYAT 105
Wajhu dalalah disini mengajak kita menghindari perbuatan menjumpai tukang tilik dan tukang ramal kerana Allah memberi amaran tentang golongan itu.Tukang tilik dan tukang ramal itu kita boleh kiaskan kepada kuiz meneka nasib di facebook.

3. Sekiranya kita menyemak firman-firman Allah S.W.T. di dalam al-Qur’an maka kita dapati terciptanya bintang-bintang di langit dan pergerakan-pergerakannya bukan berperanan untuk menentukan kebaikan atau keburukan perjalanan hidup makhluk Allah S.W.T di atas muka bumi ini. Peranan bintang-bintang adalah sebagai perhiasan di langit, penunjuk arah perjalanan dan sebagai pelempar syaitan.Bukanya bertujuan untuk kita meneka nasib.
Ini adalah sebagaimana yang diperjelaskan oleh Allah S.W.T. melalui firman-firman-Nya:

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang. – al-Mulk (67) : 5

Dan (Dia mengadakan) tanda-tanda panduan jalan, dan dengan bintang-bintang (pada waktu malam) mereka dapat mengetahui arah yang hendak dituju. - Al-Nahl (16) : 16
4.Dalam jual beli sekalipun Rasulullah s.a.w tetap melarang apa-apa jual beli yang berkaitang dengan nasib,sekalipun uruf masyarakat arab pada masa itu berpegang kuat dengan jual beli itu.Seperti bai’ munazabah,bai’ hisoh dan lain-lain.

5.Masyarakat arab zaman jahiliah sebelum bermusafir,mereka mencabut undi kertas yang tertulis pergi atau tidak pergi.Jika mereka mencabut pergi,maka mereka akan pergi begitulah sebaliknya.Di sini,juga terdapat unsur menaruh nasib dan Rasululllah tetap melarang perkara ini.

6.Surah At-taubah ayat 51.Ayat ini menerangkan tentang segala nasib kita hanyalah Allah yang tentukan,bukanya kuiz mahupun tukang tilik.

Kesimpulanya,Islam melarang keras pengikutnya membuat perkara-perkara yang bergantung dengan nasib,dan ramalan-ramalan.Harus diingat peminat facebook sekalian.Tuan empunya lamanweb ini adalah orang Yahudi ternyata pelbagai agenda dan propaganda yahudi yang tersirat kita tidak ketahui.Terlalu berat untuk saya katakan bahawa hukum bermain kuiz horoscop,ramalan nasib adalah haram.Tetapi,berdasarkan dalil-dalil di atas yang jelas dan saya merasakan juga tidak ada satu maslahat dan apa-apa faedah juga jika kita bermain kuiz itu.Saya bermaksud jika kita tinggalkan permainan kuiz itu,tidak ada apa-apa mudharat pun.Malah,saya melihat terlalu banyak lagi hiburan seperti game,kuiz-kuiz lain kita boleh sertai untuk menggantikan kuiz ramalan nasib itu.Janganlah disebabkan kelalaian kita,sudah termasuk jerat Yahudi laknatullah.Saya berpesan supaya kepada peminat-peminat facebook supaya lebih BERHATI-HATI....

Jika,ada ustaz-ustaz yang berpendapat lain daripada saya ataupun ada dalil yang lebih jelas lagi,saya seru supaya kita sama-sama berdakwah dan menerangkan kepada masyarakat tentang hukum sebenar.Wallahualam

Ke Arah Pembaharuan Ilmu dan Pemikiran 1

Monday, March 1, 2010


“Kita perlu membuat pembaharuan kepada Fiqh.Kita sekarang belajar sejarah Fiqh bukanya Fiqh!,”tegas Dr Syuwes dengan nada tinggi pada kuliah kali ini..Sengaja ingin memprovok student dalam lecturer beliau kali ini.

Beberapa pelajar arab mengangkat tangan tanda protes apa yang cuba disampaikan oleh dr kali ini.Kelas menjadi gamat seketika.Pelajar Malaysia seperti biasa malu untuk mengangkat tangan diam seribu bahasa.

“Fiqh adalah faham,bukanya sejarah.Ana bagi contoh,kita belajar jenis-jenis air untuk wudhu’ seperti air sungai,air telaga dll.Sekarang kita sudah tidak menggunakan air mata air bukan?Kita sudah ambil wudhu’ dengan air paip!Mengapa kita tidak belajar fiqh tentang air paip?”,syarah beliau lagi.

“Air musyammas juga sudah tidak wujud di zaman kita!Mengapa kita masih belajar benda yang tidak wujud?Belajar benda ghaib sama dengan aqidah?Bukanya fiqh!Mengapa kita tidak belajar tentang air tangki polimer,air tangki yang diperbuat dari besi dll?Siapakah yang dapat berikan kepada ana dalil kenapa Imam Syafi’e mengatakan air musyammas tidak dapat digunakan sebagai air wudhu’?

“Sebab itu kita perlukan tajdid fiqh.Memerlukan pembaharuan fiqh”.Berapa orang kah dalam kelas ini pernah bertayammum?Berapa orangkah dalam kelas ini pernah Solat Gerhana?”.

Kelihatan hanya 3 orang sahaja mengangkat tangan.Berbanding kelas kami yang begitu ramai.

“Fiqh untuk praktik(tathbiq).Cuba antum tukarkan maklumat yang anda pelajari dalam kelas kepada praktikal.Bukannya fiqh dipelajari untuk bahan sejarah mahupun kita belajar fiqh seperti kita belajar ilmu ghaib.Belajar benda yang tiada!”.Dr Syuwes kembali menambah pedas di telinga kami…..

Saya amat bersetuju dengan apa yang Dr Syuwes sampaikan.Fikrah beliau mahu golongan agama tidak berfikiran jumud,sentiasa berfikiran terbuka dan luas menyebabkan Agama Islam releven sepanjang zaman.Tidak mahu mengulangi sejarah zaman kegelapan Inggeris dan Kristian Ortodoks dan zaman kejatuhan Islam pada zaman ta’sub mazhab dan perpecahan umat Islam.’

Ke Arah Tajdid ilmu fiqh……sambungan ke-2

Jika Rasulullah Berada di Samping Kita Pada Hari Ini



Beg duit seorang wanita tua jatuh,lalu datang seorang lelaki yang berbasikal lantas mengambil beg duit tersebut..Tiba-tiba datang seorang lelaki lagak sebagai penyelamat mengejar lelaki berbasikal tersebut…

Rupa-rupanya wanita tua itu sengaja menjatuhkan beg duit dia kerana ini merupakan salah sebuah rancangan realiti TV oleh MBC salah sebuah stesen televisyen arab.Rancangan ini begitu menarik yang dinamakan ‘Lau kana rasulullah ya’ti a’laina daqiqatan wahidah’ yang bermaksud Jika Rasulullah S.A.W Datang Kepada Kita Selama Seminit…..Rancangan yang menarik ini sengaja mahu melihat kejujuran pemuda pada zaman sekarang dengan meletakan candid camera.Mereka mahu membuat bancian tentang kejujuran orang awam di jalanan samaada amanah atau sebaliknya dengan barang yang dijumpai di tepi jalan..Kemudian mereka akan wawancarakan sesiapa yang ‘terkena’ itu dengan bertanyakan soalan ‘Jika Nabi Muhammad datang kepada kamu ketika ini apakah yang akan kamu lakukan?’..Ada salah seorang daripada orang awam yang diwawancarakan itu menangis teresak-esak sambil berkata ‘Tidak mungkin Rasulullah datang!Tetapi aku sangat mahu bertemu Rasulullah,mahu memeluk baginda…….Mungkin rancangan ini boleh ditiru oleh stesen-stesen televisyen di Malaysia…..

Sejauh manakah kita cintakan Rasulullah?Sejauh manakah sensitif kita terhadap masyarakat bukan Islam yang menghina Rasulullah sebagaimana pelukis dari Denmark melukis karikatur menghina Nabi?Adakah sekadar membaca sahaja atau hati kita tersentuh menangis kerana bila Rasulullah dihina,maka kita juga rasa dihina?Hakikatnya,sejauh manakah hati kita sayang dan cinta kepada Rasulullah hanya kita sahaja yang tahu…

Atau kita hanya tahu sirah Rasulullah hanya semasa darjah 4 dan 5 kerana mengikuti kelas KAFA mahupun Fardhu A’in yang kita telah tinggal lama berbanding cerita gosip-gosip artis berbanding sirah Nabi..Tahukah kita berapakah anak Rasulullah?Isteri Rasulullah ada berapakah?Bilakah tarikh wafat Nabi?Ketika umur berapakah nabi menerima wahyu?Jika soalan-soalan ini hanya anda jawab,”elleh ini budak darjah 4 pun tahu”…Ataupun kita kata tidak ingat kerana kali terakhir belajar dan terdengar sirah nabi pada masa umur 10 tahun!Atau anda berasa ini tidak penting kerana merasa sudah cukup dengan ibadat selama ini?…Maka,ini menunjukkan kita sangat jauh dengan nabi…

Mungkin soalan ini paling tepat dengan kita….”Layakkah kita mendapat syafaat nabi semasa akhirat nanti?Layakkah kita meminum air telaga Kauthar sebagaimana dijanjikan pleh Allah pada surah Al-Kauthar yang dimana pada hari itu tiada dah air coca-cola,air ABC di sisi kita..?Layakkah kita bertemu dengan Nabi?Kenalkah Nabi dengan kita walaupun kita mengaku bahawa kitalah umat Nabi Muhammad tetapi sirah Nabi pun kita tidak tahu?

Cuba kita bayangkan jika Rasulullah tiba-tiba datang ke zaman kita.Tidak perlu kita imagine kita kembali ke zaman Rasulullah,tetapi Rasulullah yang datang kepada kita!Kemudian menziarahi rumah kita.Rasulullah melihat di dinding rumah kita penuh dengan poster-poster artis,di dalam MP3 kita pula penuh dengan lagu-lagu inggeris berbanding Al-quran 30Juzuk.Kemudian Rasulullah masuk ke bilik kita,baginda melihat pula buku-buku di rak dipenuhi komik-komik dan majalah-majalah yang tidak menutup aurat berbanding dengan Al-quran yang sudah berhabuk tidak disentuh.Kemudian didalam laptop pula penuh dengan cerita-cerita drama Korea berbanding kisah sirah Rasulullah………Kemudian Baginda menangis melihat umatnya..Pada masa itu layak kah kita yang mengaku cinta kepada Rasulullah memeluk baginda?Tidak malukah kepada Rasulullah??

Jika kita rasakan pada waktu itu kita malu hendak membawa rasulullah ke rumah kita,maka kita sendiri sudah tahu sejauh manakah kita cinta dan sayang kepada nabi Muhammad.Jika selama hidup kita tidak pernah menitiskan air mata kepada Rasulullah,agak-agak inginkah baginda memberi air di telaga Kauthar kepada kita?Mungkinkah ketika Malaikat Mungkar Nakil bertanyakan kita siapakah Nabi kamu?Mampukah kita menjawab soalan itu tatkala malaikat bertanyakan kita di kubur yang gelap berbantalkan tanah,dan diliputi kain kafan yang berwarna putih………….Tepuk dada Tanya iman…

Akhir sekali,bersempena maulud nabi ini,ingin saya pesankan…Banyakkan berselawat kepada nabi bukan pada Maulud nabi sahaja tetapi juga pada waktu-waktu lain juga..Sebelum saya akhirkan artikel ini,ingin saya meminta kepada anda untuk berselawat seketika kepada nabi…Sollu a’la nabi….10x….

http://www.facebook.com/photo.php?pid=241748&id=100000143599223#!/video/video.php?v=108039809208222 p/s:video rncangan tersebut

Berguru dengan Blog?

Sunday, February 7, 2010



‘Penuh rumah PUSKMA malam ni,macam duduk dalam tin sardin,’kata seorang sahabat ana.’Biasalah selebriti kan yang nak bagi ceramah,susah nak jumpa dengan orang glamor yang selalu masuk TV ni.’

Orang yang dimaksudkan itu ialah Ustaz Farid Ravi yang selalu mukanya keluar televisyen memberi ceramah,mengajar mengaji dan beliau juga telah mengIslamkan ramai orang di Malaysia.Nada ceramahnya yang sederhana sungguh menarik diselitkan dengan lawak-lawak yang mencuit hati para hadirin.Ana ada satu tertarik apa yang dipesan oleh beliau iaitu JANGAN SESEKALI BERGURU DENGAN BLOG-BLOG DAN WEBSITE-WEBSITE DI INTERNET.

ANTARA KEBAIKAN DAN KEBURUKAN

Tidak dinafikan,anak-anak muda sekarang lebih senang membuka website dan blog-blog sebagai wasilah untuk mendapatkan pengetahuan agama dan lain-lain maklumat.Hanya menaip,dan baca.Ana pernah tengok undian sebanyak 70% yang menyokong ‘masyarakat sekarang suka membaca maklumat tentang agama melalui blog-blog’ yang terpapar di internet.

Memang diantara kebaikannya memudahkan para masyarakat mengkaji ilmu agama,dan bertanyakan ustaz-ustaz melalui e-mail kerana kalau berjumpa depan-depan malu nak bertanya.Tetapi,saya nasihatkan kepada saya dan anda semua agar jangan hanya berguru dengan blog sahaja.Bukan sekadar merujuk blog-blog,dan website sahaja tanpa mengkaji sumber asal.Ini kerana,blog hanyalah lontaran idea penulis yang pelbagai latar belakang ada belajar agama,dan ada yang tidak belajar agama,ilmu fatwa,usul fiqh,maqosid syariah dan sebagainya.Mereka cuba berfatwa tanpa merujuk sumber asal apa yang mereka petik,dan memberi fatwa secara rambang tanpa ilmu cukup di dada.Mungkin boleh menyebabkan fitnah kepada ilmu!Nauzubillah.

Bukan saya mengatakan kena cukup ilmu penuh di dada dengan hafal al-quran dan beratus-ratus hadis baru boleh menulis,TIDAK sama sekali.Saya hanya memberi nasihat kepada pembaca agar berhati-hati mengambil sumber yang anda baca.Saya sendiri pun belum lagi menghabiskan subjek-subjek penting seperti maqosid syariah,qawaid dan sebagainya.Tetapi,saya cuba meletakan segala apa yang saya tulis besertakan dalil-dalil supaya pembaca dapat merujuk kembali dan menilai setiap pandangan ulama’ dan pendapat saya.Semua manusia ada juga silap termasuk ustaz-ustaz dan para pelajar agama.Setiap pandangan masing-masing juga berbeza-beza.

Bukan saya salahkan artikel,dan juga bukan penulisnya kerana artikel-artikel itu sangat bermutu tinggi.Tetapi,natijahnya apabila memahami agama secara serpihan,tidak memahami sepenuhnya dan merujuk sumber asal,melompat sana sini menyulitkan seseorang menilai sesuatu.Membaca pasal syiah,wahabi,sufi hukum ini,hukum itu,dan akhirnya pembaca pening tidak tahu mana satu nak cantumkannya.

‘Ustaz kenapa dalam blog tuh kata boleh,yang satu lagi kata boleh?Boleh ke nak talfiq mazhab?Boleh ke nak ambil yang mudah je?Kenapa terjadi khilaf ni?’Menyebabkan pelbagai soalan yang timbul di benak fikiran.

Sebagai contoh,seorang jurutera ingin memasang sebuah kereta Mercedes.Dia mengambil pintu daripada kereta Kancil,enjin daripada Volvo,cermin daripada Ferari.Dan,akhirnya dia pening kerana tidak tahu bagaimana nak cantumkan untuk menjadikan kereta Mercedes.Begitu juga ilmu agama,ada tata tertibnya.Ada masodir fiqh,usul fiqh,qawaid,maqosid dan sebagainya.Nak menaiki tingkat ke 14,perlu melalui tingkat satu dahulu.

Kesimpulanya,bukan tidak boleh ‘berguru dengan blog’,tetapi perlu mengkaji semula.Sebenarnya tidak cukup untuk mengetahui hukum-hakam sekadar satu page sahaja.Blog hanyalah sebagai jambatan yakni penghubung anda untuk menarik minat mengkaji sumber tersebut.Dan,blog juga dipengaruhi lontaran idea penulisnya yang mengandungi silap dan juga betul.Pra dan kontranya terserah kepada anda dan bagaimana cara anda menggunakanya.Mungkin ini yang cuba Ustaz Farid Ravi sampaikan mesej beliau.Bukanya tidak boleh,tetapi perlu penilitian dan jangan taqlid buta.Wallualam…

Pilihan Abah Adalah Yang Terbaik~

Saturday, February 6, 2010




Salji yang turun memutih sangat cantik…Subhanallah terdetik didalam hatiku…Salji tahun 2010 adalah kali ke-2 buat diriku memandangkan aku sudah berada di tahun 2 sekarang.Sisa-sisa pengajianku hanya tinggal setahun lagi.Tidak terlintas langsung di benak fikiranku akan belajar di Jordan,bumi syam yang barakah ini.

Teringat kenangan lama pada tahun 2002 setelah mendapat result UPSR 5A aku mendapat tawaran ke MRSM,tetapi dihalang oleh abah ku untuk memasuki sekolah asrama penuh di sana,aku dihantar ke Maahad Tahfiz Al-Quran di Pulai Chondong.Malahan,surat tawaran ke MRSM pun aku tidak sempat melihat dan aku hanya mendapat tahu melalui emak saudara ku setelah 2 bulan aku memasuki sekolah tahfiz.Pada awalnya,pelbagai tanggapan fikiran negatif terhadap ayahku kerana menghalang minat mendalam ku dalam bidang sains,cita-cita ku sejak kecil.Tetapi fikiran negatif mula beransur hilang dan aku mula menyukai hafal al-quran dan bidang agama.Alhamdulillah……

Setelah memasuki tingkatan3 aku mulai minat dalam bidang Qiraat iaitu bidang al-quran dan aku menyimpan cita-cita untuk menyambung pelajaran ke Maahad Syoubra di Mesir dalam bidang Qiraat.Setelah mendapat keputusan 8A dalam SPM,aku mengisi UPU dan tidak terlintas pun dalam fikiranku untuk ke Jordan.Disamping itu,fikiranku masih tegar untuk ke Mesir dalam bidang Qiraat.Setelah mendapat tawaran ke Syoubra,Mesir sekali lagi ayah ku menghalang.Sekali lagi aku merasa kecewa dan merajuk tidak akan masuk ke IPT dalam Negara janji ku kepada ayahku.

Kemudian dalam keadaan tergesa-gesa abah menyuruhku untuk mengisi borang Jordan.Aku orang yang terakhir hantar borang di YIK kerana tarikh menghantar borang telah tutup.Tanggal 10/9 berkelana lah ku ke Jordan.Aku mengisi borang dalam bidang Syariah di Mu’tah.Tetapi,ayahku sekali lagi meminta ku untuk menyambung Ekonomi Islam di Universiti Yarmouk.Tetapi,kali ini ayah menyerah kepada ku untuk memilih bidang dan universiti mana yang ku mahu.Akhirnya…..Aku memilih untuk menyambung dalam bidang Syariah di Universiti Mu’tah…Tidak terlintas pun dalam fikiran ku pada awalnya untuk menyambung di Universiti Mu’tah Jordan..Tetapi,Alhamdulillah segala perancangan Allah dan pilihan orang tua ku adalah yang terbaik.Aku sangat gembira mempelajari ilmu Allah di Univerisiti Mu’tah….

Terima kasih abah kerana memilih yang terbaik untuk anakmu ini..Terima kasih tidak terhingga kerana menghantarku ke sekolah tahfiz,walaupun semasa kecil aku kecewa.Sekarang,tidak ada sekelumit pun rasa kecewa atas apa pilihan abah..Berkat doa abah yang mahu melihat anak-anaknya untuk Berjaya dalam DUNIA dan AKHIRAT..Tidak ada seorang pun dapat membalas jasamu.Maafkanlah anak mu jika pernah berkasar,dan pernah merasa kecewa atas pilihan abah.Sekarang baru kutahu,pilihan mu lah yang TERBAIK…Abah,redhalah dan restuilah anakmu ini....

“YA ALLAH,AMPUNKANLAH DOSA-DOSA KEDUA IBUBAPAKU DAN KASIHANILAH MEREKA SEBAGAIMANA MEREKA KASIHANI KU SEMASA AKU KECIL.YA ALLAH TEMPATKANLAH MEREKA DI SYURGA,AKU TIDAK MAMPU UNTUK MEMBALAS SEGALA JASA BAIK MEREKA YA ALLAH..HANYA DOA YANG KU MAMPU LAKUKAN.”

Aku sangat-sangat rindu kepada keluargaku yang seramai 11 orang.Abah,mi,azmir azan,azlin alisa,azlin alini,azlin azira,azliana,azlin adila,azlin azniza,azmir amirul,azlin amira,yang bongsu azlin amalin dan semua sedara pertalian darahku di Malaysia..Doakan ku di Bumi Jordan,bumi anbiya’ yang penuh barakah ini………..AMIN~

Air Selusuh?Apakah Hukumnya?

Wednesday, February 3, 2010


Tahu ke ape itu air selusuh???Boleh ke tidak kita praktikan dalam kehidupan seharian kita?Dan apakah hukumnye di sisi agama?

Soalan diatas ditujukan kepada saya dari salah seorang pengunjung blog ini.Alhamdulillah setelah bertanya kepada sahabat-sahabat saya di Jordan saya ingin jawab secara ringkas.Dan ini hanyalah pandangan penulis sahaja dan sekiranya ada rujukan-rujukan lain yang lebih tepat maka pilihah yang mana jawapan yang terbaik.

Apa itu Air Selusuh?Air selusuh merupakan air untuk memudahkan dan melancarkan wanita ketika waktu hendak bersalin.Cara nak buat air selusuh setelah saya tanya-tanya orang dan baca di dalam web ada pelbagai cara untuk membuatnya.Ada diantaranya minum air yang dibacakan ayat-ayat al-quran,ada juga yang mengatakan perlu guna air tangan bidan,dan ada juga disuruh baca ayat-ayat jampi serapah dan macam-macam lagi.Tapi,tujuanya tetap sama iaitu air untuk memudahkan wanita bersalin.

Boleh ke tidak praktikan dalam kehidupan seharian?Saya rasa nak praktikan tuh atas anda sendiri.Tetapi tujuan air itu adalah untuk memudahkan wanita bersalin.Dan,yang lebih sesuai menjawab soalan ini ialah bidan atau doktor.Jika ada kesan yang tidak baik saya nasihatkan supaya tidak minum.=)

Apakah hukumnya?Jika air itu digunakan sebagai IKHTIAR atau lebih jelas sebagai ubat maka hukumnya HARUS dengan syarat air itu tidak bercanggah dengan Islam seperti dibacakan pada air itu ayat-ayat al-quran,doa-doa.Asalkan bacaan itu tidak bercanggah dengan Islam seperti jampi-jampi karut yang menyesatkan maka hukumnya akan berubah menjadi HARAM.
Apakah dalilnya?
Dalil:Firman Allah:’Kami turunkan sebahagian ayat-ayat Al-quran adalah untuk digunakan sebagai penawar dan pembawa rahmat kepada orang-orang beriman’-surah Al-Isra’,juzuk 15.

Jika air digunakan sebagai ikhtiar dan dibacakan ayat-ayat Al-quran maka harus bersandarkan dalil di atas.Dan juga disokong oleh kaedah usul fiqh ISTISHAB.Hukum asalnya adalah harus selagi tidak ada dalil yang mengatakan haram.Dalil seterusnya kaedah fiqh ‘AL-ASLU FIL ASYA’ MUBAH’.Setiap benda adalah harus.Maka,selagi mana tidak didatangkan unsur-unsur syirik hukumnya tidak mengapa.

Kesimpulanya:Walaubagaimanapun,kita tidak boleh mengangap AIR SELUSUH itu mempunyai kuasa untuk memudahkan bersalin.Ingatlah,air itu merupakan air biasa sahaja,cuma dibezakanya hanya dengan dibacakan ayat-ayat suci al-quran.Mana-mana air jika dibacakan sesuatu benda yang baik,maka molekul airnya akan berubah seperti kaca permata yang cantik dan begitulah sebaliknya menurut kajian saintis dari Jepun.Sebelum saya menutup pena ini,ingin saya nasihatkan cara yang paling betul ialah merujuk kepada doktor yang pakar dalam bidang ini.Seharus manapun air ini,jika ia memberi kemudharatan kepada pesakit atau ibu mengandung maka Islam tetap jua melarangnya.Ingatlah Islam itu mudah dan tidak menyusahkan.Wallahua’lam.

Pelanggan Yang Diraikan di Masjid

Tuesday, February 2, 2010


Segar lagi dalam ingatan saya,ketika umur dalam lingkungan 7-9 tahun.Saya sembahyang di saf orang dewasa.Lalu,seorang lelaki yang berkopiah saya kira mungkin dia AJk masjid menarik saya ke belakang lalu memarahi saya kerana bersembahyang di saf hadapan bersama orang-orang dewasa.Saya yang pada masa itu masih lagi kecil berasa sungguh kecewa diperlakukan begitu.Pada umur itu,semangat untuk ke masjid berkobar-kobar lalu menjunam jatuh kerana ditegur oleh lelaki tersebut.Dan,baru-baru ini saya melawat ke salah sebuah diantara gereja tertua di dunia yang terletak di Modeba,Jordan.Di sana orang-orang kristian sangat mengalukan-alukan kedatangan kami.Pada mulanya saya juga berasa takut dan mungkin akan dihalau oleh paderi yang bertugas di situ.Sangkaan saya ternyata meleset,malah kami juga dibenarkan masuk,bergambar dan bebas memasuki gereja tersebut.Kawan saya menceritakan pengalaman beliau memasuki gereja di Sarawak.Di sana juga para paderi mengalu-alukan kedatangan pelajar yang ingin tahu pasal agama mereka.Keramahan mereka menyambut tetamu sangat dipuji.Terfikir di benak fikiran saya,begitu hebat cara Kristian berdakwah berbeza benar cara saya dilayan ketika saya kecil saya ingin sembahyang di saf hadapan tetapi dimarahi.Mungkin menyebabkan saya fed-up untuk ke masjid suatu hari nanti.

Saya tertarik dengan tulisan Dr Asri pasal masjid kita KAKU DAN TIDAK MESRA PELANGGAN.Majoriti masjid-masjid di Negara kita yang tidak mesra pelanggan menyebabkan remaja-remaja di Negara kita jemu,tidak tertarik untuk ke masjid.Mungkin kerana servis di masjid kurang menyebabkan mereka lari untuk ke kelab-kelab hiburan berbanding di Masjid?Kanak-kanak kecil dilarang untuk ke masjid,untuk bersembahyang bersama orang dewasa,malah saya juga pernah terdengar mitos mengatakan tidak sah solat jika didalam saf kita ada kanak-kanak kecil yang belum berkhatan kerana anak-anak kecil itu di bawah kulup anak kecil ada najis.Maka,anak kecil yang membawa najis itu menyebabkan batal solat dan terputus pahala jemaah dan saf orang yang bersembahyang jemaah.Hujah yang tidak berasas itu tertolak sama sekali malah tidak ada dalil langsung yang menyokong hujah tersebut,bahkan ada pula dalil yang menyatakan sebaliknya.Ketika Ibn Abbas masih kanak-kanak,Rasulullah s.a.w bersolat dan memegang telinga atau kepala Ibnu Abbas agar bersolat ditepi baginda.Nah,kita dapat lihat bagaimana Nabi yang mesra melayan kanak-kanak supaya berminat untuk dating ke masjid.

Pernah juga digambarkan di dalam hadis,Nabi mendukung anak kecil ketika solat,bahkan pernah juga nabi turun dari mimbar mengangkat cucunya yang terjatuh.Di dalam hadis lain,seorang arab Badwi yang kencing di dalam masjid,tatkala para sahabat ingin memarahi Badwi tersebut,Nabi SAW hanya mengarahkan untuk membersihkanya dan memaafkan si pelaku atas kejahilanya.Begitu tinggi peribadi Rasulullah yang mengajarkan kita bagaimana cara berdakwah yang betul.Masjid perlu mesra pelanggan bukan kaku sehingga masyarakat fed-up untuk ke Masjid!
Kita juga perlu luaskan skop fungsi masjid.Bukan hanya untuk solat kemudian balik.Saya ingin memetik hadis dimana didalam hadis tersebut digambarkan orang-orang Habsyah bermain senjata di dalam masjid,malah nabi tidak melarangnya.Ini semua menunjukkan masjid pada zaman Rasulullah tidak kaku sebagaimana masjid kita pada hari ini.

Kesimpulanya,kita perlu merubah budaya masyarakat kita yang taksub dan taqlid pada sesuatu yang tidak berasas.Kita boleh mengambil pengajaran daripada cerita-cerita dari hadis pada Zaman Nabi SAW mengamalkan sikap mesra pelanggan,menarik kanak-kanak untuk ke masjid.Mungkin lama-kelamaan selepas hati anak-anak kecil ini tertambat dengan masjid,pada masa hadapan mereka merasa selesa untuk ke masjid berbanding tempat-tempat lain.Kerana kata pepatah,‘Merentung Buluh,Biarlah Sampai Ke Rebungnya’.Mungkin remaja masa kini lebih selesa untuk ke pusat hiburan berbanding ke masjid kerana sikap masjid kita yang tidak mesra?Dengan mengubah sikap kita,Insyaallah kita dapat menarik golongan remaja malahan orang bukan Islam untuk ke Masjid suatu hari nanti.Wallahualam.

KEKELIRUAN LAGI??

Tuesday, January 26, 2010



Alhamdulillah selepas artikel pertama tentang kekeliruan tentang larangan wanita haidh memasuki masjid dapat diperjelaskan,saya teruskan satu lagi kekeliruan sahabat-sahabat kita tentang LARANGAN MEMOTONG KUKU KETIKA HAIDH..

Persoalan yang timbul ialah adakah wanita ketika datang bulan tidak dapat memotong kuku dan rambut?Dan jika memotong juga perlu membawa bersama kuku yang dipotong tersebut bersama ketika mandi junub.Hal ini menyulitkan wanita.Adakah ada dalil dan bagaimanakah hukumnya yang sebenar?

Jawapan:Selama saya belajar dengan pensyarah saya Dr Ali Zuqaili dalam Fiqh Ibadat saya tidak menjumpai larangan tersebut di dalam Kitab Hidayah(kitab mazhab Hanafi) dan tidak pula disebut oleh Dr Ali Zuqaili.Rupa-rupa masalah tersebut disebut di dalam syarah al-‘Iqna’ Matan Abi Syuja’ ( 1/60 ), menurut Imam al-Ghazzali di dalam Ihya Ulumiddin, bahawa tidak seharusnya seseorang yang berjunub memotong kuku atau mencukur bulu dan rambutnya kerana semua tadi akan dikembalikan di hari akhirat nanti dalam keadaan junub(tidak bersih).

Bagaimanapun, setelah diteliti asas kepada pendapat ini, maka tidak didapati sebarang dalil yang menyokongnya kecuali logik aqal semata-mata tadi. Demikian menurut Syeikh Sayyid Sabiq, Syeikh Atiyyah Saqar dan Dr. Rif`at Fawzi, professor Syariah di Univ. Kaherah.Itu merupakan Ijtihad Ulama semata-mata.Maka DIHARUSKAN memotong kuku ketika Junub.

Ini kerana berdasarkan dalil: Nabi SAW bersabda : “ Sesungguhnya seorang mukmin tidak najis (tubuhnya) samada hidup ataupun mati”, malah Nabi memberitahu : “ Buangkan darimu bulu-bulu kufur (yang tidak dicukur semasa kafir) dan berkhatanlah (apabila masuk Islam) “ Maka arahan Nabi tidak menunjukkan sebarang tangguh cukur selepas mandi. Demikian juga diperintah wanita haid agar menyikat rambutnya semasa mandi junub, yang mana diketahui bahawa dengan menyikat ini boleh menggugurkan rambut (sebelum tamat mandi)..Jesteru apa yang dikatakan sebenarnya tiada asalnya.”

Kesimpulanya:Islam amat mementingkan kebersihan dan kekemasan.Seorang yang mengaku Muslimah mesti dalam keadaan kemas,tidak mungkin Nabi melarang untuk memotong kuku sehingga nampak keadaan yang kusut,tidak kemas dan kotor walaupun dalam keadaan haidh atau sebaliknya.Imej Islam yang kemas haruslah ditonjolkan oleh Muslimah yang sejati supaya dapat menarik Non Muslim kepada agama kita.Kerana anda adalah ‘Duta Islam’…Wallahua’lam.
 

2009 ·AWE-DONDE by TNB